Penjagaan asas
Cara jaga kucing di rumah
Enam perkara asas yang setiap kucing perlukan:
- Makanan berasaskan daging, berlabel complete and balanced untuk peringkat umur kucing.
- Air bersih setiap masa. Basuh dan isi semula mangkuk setiap hari.
- Bekas pasir sekurang-kurangnya satu lebih daripada bilangan kucing, dicedok setiap hari.
- Sikat bulu dengan kerap. Kebanyakan kucing jarang perlu dimandikan.
- Tiang cakar yang kukuh, sekurang-kurangnya 90 cm tinggi.
- Doktor haiwan untuk vaksin, ubat cacing, pemandulan dan setiap kali kucing nampak tak sihat.
Makanan kucing
Kucing ialah karnivor obligat. Badannya bergantung pada nutrien yang hanya ada dalam produk haiwan, jadi makanannya perlu tinggi protein, lemak sederhana dan sedikit karbohidrat, menurut Cornell Feline Health Center.
| Makanan kering | Makanan basah (tin, paket) | |
|---|---|---|
| Kandungan air | 6-10% | Sekurang-kurangnya 75% |
| Kos | Lebih murah | Biasanya paling mahal |
Makanan basah sangat digemari kucing, tetapi biasanya paling mahal. Apa pun jenisnya, cari label complete and balanced untuk peringkat umur kucing anda (anak kucing, dewasa). Label ini ikut piawaian AAFCO di Amerika Syarikat dan biasa dicetak dalam bahasa Inggeris pada bungkusan.
Berapa kali sehari dan berapa banyak? Ikut arahan pada label dan nasihat doktor haiwan, sebab keperluan setiap kucing berbeza ikut umur, saiz dan tahap aktif.
Susu lembu tidak disyorkan sebagai hidangan. Ramai kucing tidak boleh menghadam laktosa, dan produk tenusu boleh menyebabkan perut memulas atau cirit-birit.
Makanan manusia yang perlu dielak
Ini senarai umum ASPCA tentang makanan manusia yang boleh memudaratkan haiwan peliharaan. Senarai itu untuk haiwan peliharaan secara umum, bukan kucing sahaja: untuk anggur dan kacang macadamia, misalnya, ASPCA menerangkan kesannya pada anjing.
- Alkohol dan doh beryis
- Coklat, kopi dan kafein
- Anggur dan kismis
- Bawang, bawang putih dan kucai
- Buah sitrus (limau, oren)
- Susu dan produk tenusu: boleh menyebabkan cirit-birit atau perut tidak selesa
- Kelapa dan santan: minyak dalam isi dan susu kelapa segar boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit
- Kacang macadamia, kacang lain dan makanan berlemak
- Daging, telur dan tulang mentah atau separuh masak
- Xylitol: pemanis dalam gula-gula getah, gula-gula, kuih dan roti, serta ubat gigi
- Makanan terlalu masin
Avokado juga ada dalam senarai ASPCA, tetapi ASPCA menyebut ia terutamanya bahaya untuk burung, arnab, kuda dan haiwan ternakan seperti kambing, jadi ia tidak disenaraikan di sini.
Kalau kucing termakan salah satu daripadanya, telefon atau bawa ke doktor haiwan.
Pasir kucing dan bekas pasir
Peraturan paling mudah diingat: bekas pasir sekurang-kurangnya satu lebih daripada bilangan kucing. Dua kucing, sekurang-kurangnya tiga bekas. Ini saranan Merck Veterinary Manual untuk pemilik kucing.
Rutin bekas pasir
- Cedok najis dan gumpalan sekurang-kurangnya sekali sehari.
- Sekurang-kurangnya seminggu sekali, kosongkan bekas, basuh dengan sabun lembut dan isi semula. Lebih kerap kalau ramai kucing berkongsi.
- Letak di tempat yang tenang dan senang dicapai, jauh dari mangkuk makanan dan air, dan jauh dari mesin yang bising.
Bekas yang lebih besar lebih baik. Pasir tanpa wangian sering disyorkan, dan sesetengah kucing tidak suka bekas bertutup. Kalau kucing mula buang air di luar bekas, bawa ke doktor haiwan untuk pastikan ia bukan masalah kesihatan, dan semak juga kebersihan serta kedudukan bekasnya.
Cara mandikan kucing dan sikat bulu
Kebanyakan kucing menjaga kebersihan sendiri dan jarang perlu dimandikan, kata panduan penjagaan kucing ASPCA. Yang lebih penting ialah menyikat atau memberus bulu dengan kerap.
Kekerapan menyikat bergantung pada bulu. Parsi perlu disikat dengan kerap; Maine Coon 2-3 kali seminggu; Ragdoll sekali atau dua kali seminggu; British Shorthair dan Bengal seminggu sekali; Siam cukup diusap dengan tangan basah. Butiran setiap baka ada di halaman jenis kucing.
Kalau kucing perlu dimandikan juga (contohnya bulu terkena sesuatu yang kotor), amalan biasa ialah menggunakan syampu khas kucing, bukan syampu manusia. Kalau kulitnya merah, gatal atau berkuping, tanya doktor haiwan dulu sebelum mandikan.
Satu lagi keperluan yang selalu terlepas pandang: tiang cakar yang kukuh dan tidak bergoyang, sekurang-kurangnya 90 cm (3 kaki) tinggi, seperti saranan ASPCA.
Cara jaga anak kucing minggu demi minggu
Jadual ini ikut carta perkembangan dalam panduan jagaan anak kucing ASPCApro (daripada Program Perubatan Shelter University of Wisconsin) dan carta umur dan berat anak kucing ASPCA.
| Umur | Perkembangan | Makan | Berat (ASPCA) |
|---|---|---|---|
| Baru lahir | Mata dan telinga tertutup. Tidur kira-kira 90% masa. | Menyusu | 70-115 g |
| 2-3 hari | Tali pusat tanggal. | Menyusu | |
| Kira-kira 4 hari | Mula berdengkur (purr). | Menyusu | |
| 10-14 hari | Mata dan telinga sepatutnya sudah terbuka. | Menyusu | |
| 2-3 minggu | Gigi kacip susu tumbuh. Mula boleh buang air tanpa bantuan. Mula merangkak, berdiri dan bermain. | Menyusu | |
| 3-5 minggu | Peralihan kepada makanan basah. | Bubur anak kucing setiap 4-6 jam | |
| 4 minggu (1 bulan) | Gigi taring susu. Mula berjalan, imbangan belum baik. Mula menjilat bulu sendiri. Mata terbuka dan berwarna biru (minggu 3-4). | Bubur; mungkin sudah boleh cuba makanan kering anak kucing | 247-505 g |
| 6 minggu | Gigi premolar susu. Berlari, bermain, guna bekas pasir. Warna mata mula berubah (minggu 5-6). | Makanan kering anak kucing, ditambah makanan tin | ±680 g |
| 8 minggu | Warna mata dewasa (minggu 7-8). Sedia untuk diambil sebagai haiwan peliharaan. | Makanan anak kucing | 443-925 g |
Berat 6 minggu ialah anggaran 1.5 paun daripada panduan ASPCApro; berat lain daripada carta ASPCA 2023. Pertambahan berat biasa: 7-15 g sehari.
Anak kucing 1 bulan
Pada umur 4 minggu, anak kucing beratnya lebih kurang 250 hingga 500 g, gigi taring susu mula keluar dan ia mula berjalan walaupun masih terhuyung-hayang. Ia juga mula membersihkan bulu sendiri. Inilah masa ia sedia untuk bubur anak kucing, dan mungkin sudah boleh mencuba makanan kering anak kucing.
Makanan anak kucing
Antara umur 3 dan 5 minggu, anak kucing beralih daripada susu kepada "bubur" (gruel): campuran lembut seperti puding, daripada makanan basah anak kucing dengan air atau susu pengganti khas anak kucing. Beri setiap 4 hingga 6 jam, pekatkan sedikit demi sedikit, dan buang sisa yang tidak dimakan. Menjelang 6 minggu, makanan kering anak kucing ditambah makanan tin.
Anak kucing tanpa ibu yang masih menyusu perlukan penjagaan rapi. Dapatkan bantuan doktor haiwan atau pusat perlindungan haiwan secepat mungkin.
Vaksin dan ubat cacing: tanya doktor haiwan bila perlu bermula. Untuk pemandulan, ASPCA menyarankan kucing betina dan jantan dimandulkan menjelang umur 5 bulan; bincang masa yang sesuai dengan doktor haiwan anda.
Umur kucing dalam umur manusia
Kucing membesar sangat cepat pada tahun pertama: umur 1 tahun lebih kurang sama dengan 15 tahun manusia, dan 2 tahun sama dengan 24. Selepas itu, setiap tahun kucing bersamaan kira-kira 4 tahun manusia. Angka ini daripada carta International Cat Care (iCatCare). Purata jangka hayat kucing lebih kurang 12 hingga 14 tahun.
Kira umur kucing dalam umur manusia
Kucing berumur 1 tahun lebih kurang sama dengan manusia berumur 15 tahun.
| Kucing | Manusia (tahun) |
|---|---|
| 1 bulan | 0-1 |
| 2 bulan | 2 |
| 3 bulan | 4 |
| 4 bulan | 6 |
| 5 bulan | 8 |
| 6 bulan | 10 |
| 7 bulan | 12 |
| 1 tahun | 15 |
| 18 bulan | 21 |
| Kucing | Manusia | Kucing | Manusia |
|---|---|---|---|
| 2 tahun | 24 | 14 tahun | 72 |
| 3 tahun | 28 | 15 tahun | 76 |
| 4 tahun | 32 | 16 tahun | 80 |
| 5 tahun | 36 | 17 tahun | 84 |
| 6 tahun | 40 | 18 tahun | 88 |
| 7 tahun | 44 | 19 tahun | 92 |
| 8 tahun | 48 | 20 tahun | 96 |
| 9 tahun | 52 | 21 tahun | 100 |
| 10 tahun | 56 | 22 tahun | 104 |
| 11 tahun | 60 | 23 tahun | 108 |
| 12 tahun | 64 | 24 tahun | 112 |
| 13 tahun | 68 | 25 tahun | 116 |
Peringkat hidup kucing (iCatCare)
- Anak kucing (kitten)0-6 bulan
- Junior7 bulan hingga 2 tahun 11 bulan
- Dewasa3 hingga 6 tahun 11 bulan
- Matang7 hingga 10 tahun 11 bulan
- Senior11 hingga 14 tahun 11 bulan
- Super senior15 tahun ke atas
iCatCare menulis julat ini dalam tahun penuh, contohnya Junior "7 bulan-2 tahun" dan Dewasa "3-6 tahun". Di sini bulan terakhir setiap peringkat ditulis penuh, jadi kucing berumur 2 tahun 5 bulan masih Junior.
Tanggungjawab pemilik di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015
Di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, menjaga kucing ada sisi undang-undangnya. Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.
- Seksyen 29(1)(d): pemilik yang gagal atau cuai memberi makanan, minuman atau tempat berteduh yang mencukupi melakukan kesalahan.
- Seksyen 29(1)(p): membuang atau meninggalkan haiwan di tempat ia mungkin menderita (kelaparan, kehausan, cedera atau sakit) juga kesalahan.
- Hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 29(1): denda RM20,000 hingga RM100,000, atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya.
- Seksyen 33: gagal menjaga dan menyelia haiwan dengan munasabah juga satu kesalahan.
Ringkasan kami, bukan nasihat undang-undang. Teks penuh: Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], versi Bahasa Malaysia (PDF, laman DVS).
Cari nama untuk kucing baharu anda di senarai nama kucing jantan dan betina.
Sumber rujukan
- Cornell Feline Health Center: Feeding your cat
- ASPCA: General cat care
- ASPCA: People foods to avoid feeding your pets
- Merck Veterinary Manual: Providing a litter box for a cat
- ASPCApro: panduan jagaan anak kucing angkat, PDF (jadual perkembangan anak kucing)
- ASPCA: Kitten Age and Weight Chart (2023)
- International Cat Care: How to tell your cat's age in human years
- Animal Welfare Act 2015 [Act 772], teks Bahasa Inggeris (laman DVS)